Pesakit COVID-19 Kategori Tiga yang komorbid akan dimasukkan ke hospital

Spread the love

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) kini akan memberi keutamaan kepada pesakit COVID-19 Kategori Tiga yang mempunyai penyakit komorbid untuk dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pada masa yang sama, pesakit kategori tersebut yang tidak mempunyai komorbiditi akan disarankan untuk menjalani kuarantin di rumah.

“Bagaimanapun dalam kes-kes tertentu, KKM akan memberi pengecualian seperti wanita hamil dan warga emas serta pesakit yang berdepan masalah keadaan rumah tidak mengizinkan untuk kuarantin kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Tampin, Negeri Sembilan di sini pada hari ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin memberitahu, kerajaan kini sedang berusaha untuk mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID) namun memerlukan kerjasama pesakit Kategori Tiga yang menjalani kuarantin di rumah.

“Usaha kita untuk menurunkan kadar BID dapat dijayakan sekiranya mereka yang dikuarantin di rumah melaksanakan kawalan kendiri dan juga pemeriksaan kendiri untuk kita pantau status kesihatan mereka.

“Sekiranya keadaan kesihatan semakin merosot seperti sukar bernafas, sakit dada atau berlaku ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, pesakit perlu segera menghubungi ambulans untuk dimasukkan ke hospital atau PKRC, ” katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi kebimbangan KKM ketika ini ialah kemerosotan gejala yang semakin meningkat bagi pesakit Ktegori Tiga.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.