Liga Super : Perebutan slot AFC masih terbuka babitkan Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang

Spread the love

Kredit gambar Malaysia Football League (MFL)

KUALA LUMPUR, 4 Sept : Perebutan slot ke Piala AFC tahun depan kini kembali terbuka serta sengit membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC dan Pulau Pinang FC sebaik sahaja tamat aksi malam ini.

KDA FC yang sebelum perlawanan menduduki tempat kedua di belakang juara Liga Super, JDT , gagal menjarakkan diri apabila tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Terengganu FC pula yang menduduki tempat ketiga dengan 37 mata pula serta beraksi di halaman sendiri juga gagal memintas KDA FC apabila JDT berjaya ‘membalas dendam’ kekalahan pusingan pertama menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Gong Badak.

Sementara itu, Pulau Pinang FC yang berada di tempat keempat dengan 37 mata dan tidak turun beraksi malam ini berpeluang merampas tempat kedua sekiranya mereka menewaskan Sri Pahang FC di Kuantan malam esok.

Ketika ini, KDA FC menamatkan 20 aksi dengan 39 mata dan masih berbaki dua perlawanan untuk diharungi.

Sekiranya mampu memungut enam mata penuh bertemu UiTM FC dan Melaka United di tempat sendiri, pasukan utara tanah air itu sah akan mewakili negara di pentas AFC tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan Pulau Pinang FC.

Pulau Pinang FC kini memungut 37 mata dan berpeluang layak sekiranya menang dalam dua aksi terakhir sambil mengharapkan jiran mereka keciciran mata.

Secara matematiknya, Terengganu FC juga masih boleh layak sekiranya menang pertempuran terakhir dengan syarat KDA FC dan Pulang Pinang FC tewas dua perlawanan akhir, sesuatu yang agak sukar namun dalam bola sepak, kejutan sering berlaku.

Berbalik kepada aksi malam ini, KL City yang dibimbing Bojan Hodak nyata bersemangat untuk membalas dendam kekalahan 2-3 di Alor Setar pada April lalu.

Skuad warga kota menguasai babak awal menerusi jaringan Romel Morales seawal minit keenam dan penyerang veteran Safee Sali turut meledak ketika perlawanan memasuki minit ke-26.

Tchetche Kipre kembali menyalakan harapan skuad Hijau Kuning menerusi jaringan minit ke-34 namun ketenangan KL City mengawal perlawanan sehingga minit akhir membolehkan mereka meraih tiga mata berharga sekaligus melonjak ke tangga keenam selepas empat kemenangan berturut -turut.

Jaguh pantai Timur, Terengganu FC yang mencipta sensasi sebagai pasukan pertama menumbangkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim tahun ini nyata gagal mengulangi aksi terbaik.

JDT yang sudah mengesahkan kejuaran kali kelapan berturut -turut membawa pulang mata berharga menerusi jaringan Shane Lowry pada masa tambahan separuh masa pertama.

Satu lagi perlawanan menyaksikan PJ City FC menewaskan UiTM FC 1-0. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.