Dek Wan gagal pertahan pingat emas Rio 2016

Spread the love

TOKYO: Atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Rio 2016 pada peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik pada hari ini.

Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya, terutamanya pada 10 meter terakhir lariannya.

Keputusan itu bermakna pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali sebagai ‘Dek Wan’ itu pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda dengan memenangi pingat emas selain memecah rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan oleh Turner pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87 saat.

Pei-Cheng mengatasi rekod tersebut dengan catatan masa 11.85 saat dalam saingan akhir sesi pagi sukan olahraga pada hari ini.

Turner terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan catatan masa 12.00 saat manakala pingat gangsa milik Alexis Sebastian dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02 saat.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.