Dek Wan mara ke final, tekad pertahan emas esok

Spread the love

TOKYO: Juara bertahan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menepati ramalan apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik pada hari ini.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan panggilan “Dek Wan” mencatatkan masa 12.06 saat pada saringan kedua dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Pelari berusia 33 tahun itu percaya beliau mampu berlari lebih pantas dan akan berusaha untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

“Ya, Dek Wan percaya boleh lari lebih laju dan nak menang emas esok,” katanya ketika ditemui BERNAMA selepas lariannya.

Pencabar terdekatnya, Yang Yifei dari China, menamatkan lariannya dengan merekodkan masa 12.10 saat manakala pelari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov, di kedudukan ketiga dengan catatan masa 12.26 saat.

Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba daripada kedua-dua saringan yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila beliau bukan sahaja muncul sebagai pelari terpantas, malah turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan di Rio 2016 iaitu 12.07 saat, dengan catatan baharu 11.87 saat.

James juga merupakan pemegang rekod dunia dengan masa 11.72 saat yang dicatatnya dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pada pagi esok, kira-kira jam 9.38 pagi waktu Malaysia).

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.