PDRM cakna terhadap ancaman dari luar dan dalam negara

Spread the love

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang baharu semalam.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Hazani merupakan calon yang paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut dan yakin beliau akan membawa tugas jabatan ke arah yang lebih cemerlang.

“Ini akan membolehkan tugas-tugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam diteruskan hingga mencapai peringkat yang lebih cemerlang lagi.

“Selain itu juga, kita yakin dan percaya bahawa beliau akan dapat memberi fokus kepada ancaman yang berbentuk subversif dan ancaman yang berbentuk jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah pada Rabu lepas.

Sementara itu, jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu telah diberikan kepada Komisioner Polis Datuk Idris Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Penjawatan di Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Pada majlis yang sama, Acryl berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih fokus kepada penggunaan teknologi tinggi dalam penguatkuasaan dan kesiapsiagaan mengawal sempadan negara berikutan ancaman luar yang sentiasa didepani.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa individu yang terlibat dalam ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) sudah dikenal pasti dan siasatan lengkap sedang dilaksanakan.

Isu tersebut tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Sittah Annur mendakwa kononnya Perang Dunia Ketiga akan berlaku di Sabah dan pasukan mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh perlu dipimpinnya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.