Yang di-Pertua Dewan Rakyat nafi tolak usul kosongkan jawatan

Spread the love

KUALA LUMPUR: Speaker atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menafikan laporan berita sebuah akhbar tempatan bahawa beliau telah menolak usul-usul untuk mengosongkan jawatan yang disandangnya.

Menurut Azhar Azizan, sebaik sahaja pejabatnya menerima usul-usul tersebut, beliau telah mengutuskan surat kepada kesemua pengusul terbabit bahawa beliau tidak akan membuat sebarang keputusan kerana wujud percanggahan kepentingan.

“Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon,” katanya menerusi kenyataan media pada hari ini.

Akhbar berkenaan dalam laporannya semalam mendakwa sekurang-kurangnya 15 usul dikemukakan ahli Dewan Rakyat yang mahu Speaker Dewan Rakyat ditukar, tetapi semuanya ditolak daripada dibahaskan pada Sidang Dewan Rakyat yang dijadual semula bermula 13 September hingga 12 Oktober.

Sehubungan itu, Azhar Azizan berkata, laporan akhbar tersebut, yang menyatakan beliau telah mengetepikan usul-usul berkenaan daripada dibahaskan, selain mempunyai unsur innuendo bahawa ia telah ditolaknya, adalah bersifat pembohongan dan berniat jahat untuk mencemari reputasinya.

“Saya tidak pernah mengambil bahagian dalam apa acara sekalipun atau campur tangan dalam keputusan mengenai usul-usul tersebut malah saya tidak tahu-menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat oleh Timbalan Yang di-Pertua mengenai usul tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa terdekat.

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.