Malaysia belum putuskan isu vaksinasi untuk kanak-kanak

By Yazid Bin Ibrahim
Spread the love

PUTRAJAYA, 2 Sept — Malaysia belum membuat sebarang ketetapan mengenai vaksinasi COVID-19 terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Tiada sebarang kelulusan untuk vaksinasi pediatrik di Malaysia mahupun di mana-mana tempat ketika ini. Ia masih dalam kajian oleh agensi pengawalseliaan sama ada badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mahupun Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA).

“Sebaik sahaja kita ada cukup data untuk menyokong bahawa adalah selamat untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak, barulah kita akan bawa ia kepada jawatankuasa vaksin untuk pertimbangan dan membuat keputusan mengenainya,” katanya pada persidangan media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini semalam.

Menurutnya pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech, sedang dalam proses menampilkan vaksin COVID-19 khusus buat kanak-kanak dan vaksin itu mempunyai dos yang berbeza daripada dos untuk dewasa.

Beliau berkata dengan ketiadaan vaksinasi yang diluluskan untuk mereka yang berumur 12 tahun ke bawah, langkah vaksinasi orang dewasa di sekolah-sekolah akan menjadi cara terbaik untuk memastikan anak-anak yang belum diberi vaksin terselamat.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan mungkin akan menimbangkan keperluan mewajibkan vaksinasi COVID-19 dalam usaha menangani masalah berkaitan anti-vaksin, sambil menambah bahawa beliau juga hampir mencadangkan supaya semua anggota kabinet diwajibkan mengambil vaksin.

Bagaimanapun katanya buat waktu ini kerajaan tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin oleh orang ramai.

“Saya belum sampai ke tahap saya akan mengesyorkan supaya seluruh anggota kabinet diwajibkan untuk menjalani vaksinasi,” katanya.

Khairy berkata satu dasar baharu mengenai ujian COVID-19 akan dilaksanakan tidak lama lagi khusus bagi mereka yang menolak untuk mendapatkan vaksin, yang bukan disebabkan faktor perubatan.

Beliau berkata di bawah dasar ini, seseorang perlu melakukan ujian diri dengan alat ujian COVID-19 secara berkala untuk memastikan mereka bebas dari virus.

“Sebaik sahaja kita masuk ke fasa endemik, sama ada anda telah divaksin atau tidak, anda perlu menjalani ujian kendiri dengan kerap.

“Bagi mereka yang yang enggan divaksin, mereka perlu mempunyai jadual tertentu ujian yang perlu dipatuhi. Sama ada ia menggunakan kit ujian segera dan sekiranya ia (keputusan) positif, akan disahkan oleh ujian PCR,” katanya.

Sehubungan itu Khairy berkata kerajaan dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju menetapkan harga siling bagi alat ujian diri COVID-19.

Beliau berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Menurutnya ketika ini terdapat 11 jenama alat ujian diri COVID-19 yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kesihatan untuk kegunaan awam.

— BERNAMA

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.