Kes COVID-19 di Malaysia kini lebih 1.5 juta

Spread the love

KUALA LUMPUR, 2 Sept : Buat hari kedua berturut -turut, jumlah kes sembuh baharu di negara ini melebihi jangkitan baharu iaitu sebanyak 23,473 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama, negara mencatatkan kes baharu sebanyak 20,988 sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 1, 506 273 sejak negara dilanda pandemik.

” Sementara itu, kes aktif pula sebanyak 262 540 kes dengan sejumlah 1,417 orang pesakit kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Perincian kes pada hari ini menurut Noor Hisham ialah sebanyak 341 kes atau 1.6 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 20,647 kes atau 98.4 peratus lagi merupakan kategori 1 dan 2.


“Secara keseluruhan, 9,860 kes atau 47.0 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada sejarah vaksinasi manakala seramai 4,995 kes atau 23.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.

Selain itu beliau memberitahu, sebanyak 6,133 kes mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

Menurutnya, negara pada hari turut mencatatkan 249 kes kematian dengan 198 warganegara manakala 51 bukan warganegara.

” Pada masa sama, kes kematian di luar hospital (BID) pula sebanyak 80 kes dengan 46 warganegara manakala 34 warga asing,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 4,804 kluster direkodkan dengan pertambahan 31 kluster baharu hari ini selain jumlah kluster aktif mencapai 1,448. -TVS

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.