Kediaman sewa untuk golongan terkesan pandemik COVID-19 pada kadar minimum

Spread the love

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan kediaman bagi golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 pada kadar sewa paling minimum untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau akan mengumumkan maklumat lanjut berhubung inisiatif bantuan kediaman untuk penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19 itu pada Isnin ini, yang merupakan antara fokus utama beliau sebagai peneraju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata pandemik COVID-19 memberi impak besar pada sudut ekonomi rakyat hingga ada yang hilang pekerjaan, tidak mampu menampung perbelanjaan harian dan membayar sewa kediaman.

Antara mereka yang terjejas adalah golongan penjaja, peniaga kecil dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bukan sahaja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa,” katanya pada sidang media pertamanya di sini pada hari ini setelah dilantik ke jawatan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu lepas.

Reezal Merican memulakan tugas secara rasmi di KPKT semalam.

Reezal Merican berkata KPKT akan meneruskan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0) dengan memfokuskan kepada penghuni PPR dan peniaga kecil di enam negeri yang kadar vaksinasinya rendah iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.

“Saya telah meminta pegawai saya menyediakan data mengenai golongan sasar yang masih belum mendapat vaksinasi iaitu mereka yang tinggal di 140 PPR seluruh negara dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membekalkan 80,000 dos suntikan vaksin untuk program MOVAK, dan seramai 33,000 golongan sasar di seluruh negara telah menerima suntikan tersebut setakat ini.

Reezal Merican berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan penambahan bekalan vaksin untuk meningkatkan kadar pemberian suntikan vaksin menerusi program MOVAK 2.0.

Dengan berpegang kepada konsep Keluarga Malaysia, Reezal Merican berkata beliau akan memastikan perancangan KPKT berjalan lancar untuk memastikan persekitaran rakyat adalah selamat untuk menjalani kehidupan normal kelak.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.