Suri rumah kerugian RM35,300 diperdaya sindiket macau scam

Spread the love

PORT DICKSON, 1 Sept — Seorang suri rumah kerugian RM35,300 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pertengahan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 53 tahun itu dihubungi menerusi telefon oleh seorang individu dikenali sebagai Mohd Aiman pada 12 Ogos lepas dengan memaklumkan wanita itu mempunyai tunggakan cukai atas nama sebuah syarikat beralamat di Kedah.

Beliau berkata syarikat itu didakwa didaftarkan atas nama wanita terbabit namun wanita itu menafikan mengenainya. 

“Panggilan telefon itu kemudian disambung pula kepada individu bernama ‘Tuan Sulaiman’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang memberitahu terdapat kebocoran maklumat mengenai akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera milik mangsa yang disalahguna oleh pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata wanita itu diminta memaklumkan nombor tertera pada kad mesin juruwang automatik (ATM) dan memasukkan wang ke dalam sebuah akaun bank untuk tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata wanita berkenaan menggunakan wang simpanan miliknya dan arwah suami bagi melakukan bayaran menerusi tiga transaksi pada 12 dan 13 Ogos lepas ke sebuah akaun, keseluruhannya melibatkan RM35,300.

Katanya wanita itu membuat laporan polis pada 24 Ogos lepas selepas menyedari ditipu dan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.