Lelaki didakwa cuba bunuh ayah kandung diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Spread the love

KOTA BHARU, 1 Sept —  Seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital.

 Muhamad Nur Amin Azmail, 28, didakwa atas pertuduhan dengan pengetahuan cuba membunuh  Azmail Mohd Salmon, 66, dengan cara menikam bahagian leher mangsa menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah dekat Bachok, pada 10.40 pagi, 24 Ogos lepas.

Penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memaklumkan bahawa tertuduh telah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak lima tahun lepas dan memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes Muhamad Nur Amin yang tidak diwakili peguam itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai pesakit mental menikam ayahnya kerana berang anak saudaranya menangis, dan bertindak menikam ayahnya sehingga mangsa mengalami kecederaan di leher kanan, bahagian atas kepala, telinga kiri dan tapak tangan kiri.

— BERNAMA

Tags: #bm, bunuh

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.