David Smith sekat impian emas Wei Lun

Spread the love

TOKYO, 1 Sept — Atlet boccia negara Chew Wei Lun, berjaya meraih perak dalam perlawanan akhir acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Wei Lun, yang mencipta sejarah muncul atlet pertama Malaysia beraksi dalam sukan boccia di pentas Paralimpik, tewas kepada juara bertahan dari Rio 2016 David Smith dari Great Britain, 2-4, pada aksi final di Ariake Gymnastics Centre.

Atlet berusia 26 tahun yang membuat kemunculan pertama di Sukan Paralimpik itu bermula baik apabila mendahului pemain ranking pertama dunia itu 2-0 pada end pertama, sebelum David merapatkan jurang kepada 2-1 pada end kedua.

David kemudian menyamakan kedudukan kepada 2-2 pada end ketiga sebelum mengesahkan emas apabila memenangi end keempat dengan keputusan 4-2.

Kemenangan David itu menyaksikan beliau mencalar rekod tanpa kalah Wei Lun, selepas unggul memenangi enam perlawanan berturut-turut termasuk empat aksi peringkat kumpulan B, sejak Sabtu lepas.

Pencapaian pemain ke-11 terbaik dunia itu membantu Malaysia menambah koleksi pingat perak kepada dua, selepas atlet powerlifting, Jong Yee Khie merangkul perak pertama dalam kategori lelaki 107kg Isnin lalu.

Badang kerdil dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pula muncul atlet pertama negara menghadiahkan emas pertama Sabtu lepas dalam temasya berprestij itu.

Sementara itu, pemain Brazil Jose Carlos Chagas de Oliveira, meraih gangsa selepas menumpaskan atlet Portugal Andre Ramos, 8-2, dalam perlawanan penentuan pingat itu pagi tadi.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.