Yee Khie tutup kempen powerlifting negara dengan cemerlang

Spread the love

TOKYO, 30 Ogos : Atlet powerlifting kebangsaan, Jong Yee Khie menutup kempen pasukannya dalam Sukan Paralimpik Tokyo dengan pencapaian membanggakan, pada hari terakhir sukan berkenaan berlangsung hari ini.

Kejayaan Yee Khie, yang merangkul perak bagi kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Tokyo International Forum, meneruskan rentak cemerlang dimulakan rakan sepasukannya, Bonnie Bunyau Gustin, yang menyumbang emas pertama negara pada temasya berprestij itu dalam kategori lelaki 72kg, Sabtu lepas.

Pencapaian hebat itu menyaksikan kem powerlifting tidak pulang tangan kosong selepas kedua-dua atlet dari Bumi Kenyalang berjaya membawa pulang pingat dalam kategori masing-masing.

Dalam penampilan keduanya di pentas Paralimpik, Yee Khie dari Batu Kawa, Kuching bermula agak goyah, apabila gagal melengkapkan angkatan pertamanya seberat 230kg, namun kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, menerusi angkatan seberat 237kg.

Namun, atlet berusia 32 tahun itu tidak berhasil untuk mencabar pingat emas selepas gagal dalam percubaan ketiga dan juga terakhirnya iaitu 245kg.

Pencapaian dilakar Yee Khie membuktikan beliau telah memperbaiki prestasinya di Sukan Paralimpik selepas sekadar menghuni tangga ketujuh bagi kategori 97kg dalam kempen pertamanya di Rio 2016.

Atlet Mongolia Sodnompiljee Enkhbayar merangkul emas dengan angkatan terbaik 245kg manakala Saman Razi meraih gangsa menerusi angkatan terbaik seberat 231kg.

Terdahulu, Sodnompiljee juga melakukan angkatan 241kg untuk memecah rekod Paralimpik milik Pavlos Mamalos dari Greece, dengan angkatan seberat 238kg dilakukan di Rio 2016, dan tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi mencuri tumpuan memecahkan rekodnya sendiri dalam percubaan kedua iaitu 245kg.

Sementara itu, atlet boccia kebangsaan, Chew Wei Lun unggul mendominasi acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) peringkat kelayakan kumpulan B di Ariake Gymnastics Centre.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Wei Lun menewaskan Katerina Curinova dari Republik Czech, 11-0, untuk mengekalkan rekod bersih dalam empat perlawanan sejak aksi pertama Sabtu lepas, dengan menewaskan atlet Brazil Andreza Vitoria de Oliveira, 5-2.

Atlet berusia 26 tahun itu akan membuat perhitungan dengan pemain ranking ke-47 dunia, Qi Zhang dari China, dalam peringkat suku akhir pada jam 4 petang esok (3 petang waktu Malaysia).

Di Stadium Olimpik Tokyo, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin mara ke final buat kali kedua berturut-turut dalam acara 400 meter wanita T20 (kecacatan intelektual) selepas melayakkan diri kali pertama di peringkat akhir pada edisi Rio 2016.

Atlet dari Johor berusia 31 tahun itu menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan kedua hari ini dan ketujuh daripada 12 pelumba secara keseluruhan, dengan catatan masa 59.89 saat.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.