SALURAN percepat naik taraf liputan internet

Spread the love

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini mempergiatkan lagi pembinaan infrastruktur digitalnya bagi memperluaskan serta menyediakan kesalinghubungan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman.

Usaha itu adalah untuk mempercepatkan visi mencapai 99.9 peratus liputan jalur lebar di seluruh negeri.

Untuk tujuan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation ataupun SALURAN.

Objektif utama SALURAN adalah untuk memperluaskan capaian 4G dengan menaik taraf infrastruktur sedia ada serta infrastruktur baharu ke seluruh Sarawak.

Bagi memacu inisiatif ini, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan berkolaborasi secara rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Selain itu, pelaksanaannya turut melibatkan penglibatan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Sarawak Information System (SAINS).

Antara projek yang giat dilaksanakan adalah projek menara telekomunikasi SMART yang dibina oleh SMA, program Sarawak Rural Broadbrand Network (mySRBN) oleh SDEC, Digital Socio Economy (DSE) oleh SAINS, dan Jalinan Digital Negara ataupun JENDELA oleh MCMC.

Bagi menyediakan liputan menyeluruh di Sarawak, dianggarkan 7,000 menara telekomunikasi diperlukan untuk merealisasikannya.

Setakat ini, sejumlah 3,471 menara telahpun siap dibina.

Sementara 1,043 dijadual siap menjelang penghujung 2022 manakala 2,486 menara lagi dijadual siap menjelang tahun 2023.

Pembinaan menara-menara ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan sarawak membantu pembekal perkhidmatan mudah alih termasuk mySRBN menyediakan perkhidmatan jalur lebar.

Sementara itu, bagi beberapa kawasan yang terlalu jauh dan tidak mempunyai ‘backhaul’ darat seperti menara pemancar dan fiber, kerajaan akan memasang Very Small Aperture Terminal (VSAT) untuk menyediakan jalur lebar melalui satelit sebagai penyelesaian interim.

Dengan segala perancangan strategik, termasuk kolaborasi antara pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan ini, seluruh rakyat Sarawak akan dapat menikmati rangkaian serta akses internet dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Malah, kemudahan ini turut menyediakan peluang baharu kepada seluruh rakyat untuk berkembang maju sebagai komuniti yang didorong oleh data dan inovasi.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.