Remaja perempuan bukan diculik, tetapi ada masalah keluarga – Polis

Spread the love

IPOH, 9 Ogos — Remaja perempuan yang didakwa diculik ketika tinggal berseorangan di rumahnya di Ampang di sini pagi semalam, sudah ditemui semula dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berusia 13 tahun itu pagi semalam dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut.

“Siasatan menemui remaja tersebut di rumah rakannya semalam dan dipercayai mempunyai masalah keluarga,” katanya ringkas menerusi pesanan WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Semalam tular di media sosial (Twitter) menerusi satu ciapan seorang individu yang mendakwa remaja perempuan dikenali sebagai Qistina itu disyaki diculik ketika ibu bapa dan abangnya keluar bagi urusan vaksinasi di Perak Tengah.

Ciapan yang turut memuat naik gambar remaja itu juga menyebut bahawa rumah keluarga itu dalam keadaan berselerak selain terdapat nota ugutan sebaik ibu bapa dan abangnya, pulang dari proses vaksinasi.

Bernama difahamkan siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dilaporkan dan remaja berkenaan didapati keluar rumah tanpa paksaan untuk ke rumah rakannya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.