APMM patahkan cubaan seludup dua tan daun ketum ke Thailand

Spread the love
ALOR SETAR, 9 Ogos — Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah (dua, kiri) menunjukkan rajah rampasan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang ketika mengadakan sidang media APMM setelah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang dua tan daun ketum di Pejabat Maritim, Jalan Marina Harbour, Taman Baru Kuala Kedah, Kuala Kedah hari ini. Turut sama Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak (kanan). –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR, 9 Ogos — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat dua tan ke negara jiran melalui jalan laut di perairan Kuala Sanglang, Jerlun, Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata rampasan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang pada jam 1.50 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

“Hasil risikan yang dilakukan, dua bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan dan telah mengesan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju keluar dari Kuala Sanglang.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong kedua-dua bot bertindak menukar laluan serta memecut laju ke arah berbeza menuju ke daratan dan meninggalkan bot sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot itu telah menemukan 190 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sekitar dua tan yang dianggarkan bernilai RM360,000.

Mohd Zawawi berkata daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut berikutan permintaan tinggi di sana dengan harga pasaran kira-kira RM180 sekilogram berbanding RM70 sekilogram di pasaran tempatan.

“Aktiviti penyeludupan melalui jalan laut dilihat semakin rancak berikutan penutupan pintu sempadan negara serta harga pasaran yang tinggi di Thailand. Ia juga menjadi faktor pendorong kepada penghantar yang dibayar upah sekitar RM350 hingga RM800 bagi setiap hantaran berdasarkan berat timbangan,” katanya.

Menurut beliau, kesemua daun ketum berserta bot fiber dan enjin yang dianggar bernilai RM390,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata sepanjang tahun ini, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah telah merampas sebanyak 5,970 kilogram daun ketum selain bot dan enjin dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.3 juta.

“Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.