APMM rampas 750KG daun ketum di Muara Kuala Sanglang, Jerlun

Spread the love

ALOR SETAR, 4 Ogos — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 750 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran di muara Kuala Sanglang, Jerlun, pagi tadi. 

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Noor Azreyanti Ishak berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara tersebut pada 4 pagi.

Beliau berkata curiga dengan bot tersebut pihaknya membuat pemeriksaan lanjut dan menemukan 75 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM135,000.

“Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding harga di pasaran tempatan iaitu sekitar RM70 sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, kesemua daun ketum berkenaan selain bot fiber serta enjin yang dianggarkan bernilai RM198,000 dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Noor Azreyanti berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. 

Katanya, APMM terus memperhebat operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

“Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan berhubung aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.