Pembatalan Ordinan Darurat ikut lunas undang-undang, perlembagaan

By bernama
Spread the love

KUALA LUMPUR: Semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

“Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat,” menurut kenyataan itu.

Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Mengambil maklum titah Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa dukacita berhubung kenyataan yang dikeluarkan di Parlimen pada 26 Julai seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, PMO  menjelaskan Seri Paduka perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Menurut kenyataan PMO, pada 23 Julai, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada Seri Paduka untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka.

Susulan itu, pada 24 Julai Al-Sultan Abdullah telah menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun  menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat bagi pembatalan ordinan berkenaan.

Oleh itu, apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang pada 26 Julai, semua ordinan darurat telah dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan,” menurut PMO.

Pemakluman berkenaan bagaimanapun telah menimbulkan persoalan berhubung status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas pembatalan ordinan berkenaan.

Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap Seri Paduka pada 27 Julai pukul 12 tengah hari untuk menjelaskan kedudukannya.

“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.