Sarawak sumbang lebih 100 tan bekalan oksigen buat Kalimantan

Spread the love

TEBEDU, 28 Julai: Atas dasar perikemanusiaan, negeri Sarawak telah menghantar empat lori kontena berisi 60 tan oksigen ke Kalimantan Barat, Indonesia hari ini.

Ia susulan permintaan dari Kalimantan Barat berikutan kekurangan bekalan oksigen di wilayah berkenaan ekoran peningkatan pesakit Covid-19 yang memerlukan oksigen.

“Indonesia merekodkan lonjakan kes yang sangat tinggi sehingga keperluan bekalan oksigen kini berada di tahap yang kritikal,” kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing ketika berucap di Majlis Penyerahan Tangki Oksigen Daripada Sarawak Kepada Provinsi Kalimantan Barat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini petang tadi.

Beliau berkata, bantuan tersebut atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik serta kerjasama yang erat antara dua buah negeri itu.

Masing juga memberi jaminan bahawa bekalan kecemasan oksigen di Sarawak adalah mencukupi.

Mayor Jenderal TNI Muhammad Nur Rahman yang mewakili delegasi Kalimantan Barat menzahirkan penghargaan beliau atas sumbangan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan untuk kerjasama antara kerajaan dan seluruh warga Malaysia atas sumbangan dalam membantu Indonesia, khususnya Provinsi Kalimantan Barat,” kata Nur Rahman.

“Sumbangan oksigen ini akan memberi bantuan yang cukup besar dalam usaha penyelamatan pesakit COVID-19,” ujarnya.

Bekalan tangki oksigen ini dijalankan secara komersil, yang mana kerajaan hanya membantu dalam melancarkan proses berkenaan.

Antara syarat-syarat yang dipersetujui bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak termasuk pembekal oksigen daripada syarikat berdaftar, pergerakan lori kontena dihadkan sehingga ke ICQS Tebedu dan pematuhan kepada garis panduan SOP yang ditetapkan.

Syarikat Linde EOX Sdn Bhd di Kuching telah dipilih untuk mengendalikan urusan bekalan oksigen ini dengan pihak Perusahaan PT. Matesu Abadi dan PT Sarana Pasik Nusantara dari Kalimantan Barat.

Tiga buah lori kontena berisi bekalan oksigen yang dihantar pada 23 dan 24 Julai lalu telah selamat tiba minggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan hantaran lebih 100 tan.

Minggu lalu, Kalimantan Barat meminta bantuan kerajaan Sarawak berikutan kekurangan bekalan oksigen di hospital-hospital di wilayah berkenaan.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.