Peguam Syarie boleh mohon untuk beroperasi semasa pelan pemulihan negara (PPN) melalui CIMS

Spread the love

PUTRAJAYA, 28 Julai — Peguam syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan tersebut boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie.

Ia mempunyai empat sub-sektor iaitu Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie; Perkhidmatan Guaman Syariah; Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat; dan Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

Zulkifli berkata permohonan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) bertarikh 15 Julai 2021 yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kelulusan permohonan juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa PPN, katanya.

“Saya harap peluang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya yang turut menasihatkan peguam syarie untuk mematuhi segala SOP semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie serta menggunakan pendekatan terbaik bagi pengurusan kes di mahkamah syariah.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.