Rancangan Menarik TVS Sempena Hari Sarawak

Spread the love

KUCHING, 17 JULAI: Tanggal 22 Julai sebelum ini diumumkan mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan sebagai Hari Sarawak.

Katanya, tarikh tersebut telah dipilih sempena mengingati pengorbanan pemimpin terdahulu memperjuangkan negeri.

Bagi meraikan Hari Sarawak, pelbagai pengisian menarik disiarkan TVS.

Antaranya Sejahtera Asia Khas Hari Sarawak, dokumentari Bujang Berani, Above and Beyond serta banyak lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman, Hari Sarawak merupakan hari yang penting hasil perjuangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu.

“Saya mahu memperingati hari ini (Hari Sarawak) dengan mempersembahkan keharmonian dan kepelbagaian yang ada di Sarawak.

TVS dengan kerjasama stesen radio RTM, Cats FM, Astro Radio, Sarawak FM, Era, Hitz dan Wai FM akan menyajikan program istimewa sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai kelak,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Sementara itu, penerbit dan pengarah dokumentari Bujang Berani, Yusmal Ghazali memilih untuk menerbit dan mengarahkan dokumentari bersiri berkenaan kerana baginya, ia seolah satu tanggungjawab untuk mengingatkan masyarakat tentang pengorbanan terutamanya pengorbanan mereka yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Apabila kita tahu tentang pengorbanan ini, kita akan lebih menghargai pasukan keselamatan kita.

Jadi, keinginan untuk terus mengingatkan masyarakat telah melahirkan Bujang Berani, sebuah dokumentari biografi mengenai kisah kepahlawanan patriot kelahiran Sarawak,” dedahnya.

Dokumentari Bujang Berani akan disiarkan sebanyak enam episod di mana setiap episod akan memaparkan zaman paling mencabar dalam sejarah pertahanan negara iaitu zaman darurat.

Bagi program Sejahtera Asia Khas Sempena Hari Sarawak pula, ia akan menampilkan beberapa tetamu jemputan istimewa yang akan mengupas mengenai sejarah Sarawak.

Bagi merasai semangat patriotik Bumi Kenyalang, saksikan rancangan menarik di TVS yang akan disiarkan sempena Hari Sarawak pada 22 Julai ini.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.