Bau Busuk Jadi Tanda Tanya, Rupanya Dari Mayat Di Sungai

Spread the love

PADAWAN, 16 JULAI: Bau busuk yang menjadi tanda tanya penduduk di kawasan perumahan Taman Lucy Hill, Kota Padawan akhirnya terjawab selepas beberapa hari.

Ia susulan penemuan mayat seorang lelaki di sungai tidak jauh dari sebuah kebun di belakang kawasan perumahan tersebut.

Mayat lelaki itu ditemui sekitar jam 3 petang pada Khamis oleh pemilik kebun berkenaan, dalam keadaan hampir reput terapung di sungai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong ketika dihubungi kru TVS memaklumkan bahawa pasukan forensik Hospital Umum Sarawak yang diketuai oleh pakar pathologi telah membuat pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan disebabkan oleh jenayah tetapi mempunyai beberapa kecederaan disebabkan oleh gigitan serangga atau binatang,” dedahnya.

Identiti si mati masih belum dikenal pasti namun dijangka seorang warga emas berdasarkan ketiadaan gigi.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihak polis memohon kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran ataupun di Balai Polis Batu 10.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.