CITF bahagian Sibu sangkal dakwaan penjualan vaksin kepada pihak lain

Spread the love

SIBU, 13 Julai — Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Bahagian Sibu hari ini menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa berlaku penjualan vaksin kepada pihak lain di bahagian itu.

CITF Bahagian Sibu menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu tidak mungkin berlaku kerana setiap dos vaksin COVID-19 itu dipantau oleh beberapa pihak termasuk farmasi, pakar kesihatan dan ramai penyelia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu.

“Amalan pemberian atau suntikan vaksin COVID-19 di semua PPV di Sibu amat mementingkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol yang ketat untuk memastikan jumlah dos vaksin yang diterima di PPV dan jumlah dos vaksin yang diberikan atau disuntik kepada penerima adalah sama,” menurut kenyataan itu hari ini.

CITF Bahagian Sibu memaklumkan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aduan seorang individu yang menyatakan pihak PPV Stadium Tertutup Sibu telah memberikan suntikan tanpa vaksin kepada bapanya semalam.

“Pada hari tersebut terdapat satu insiden melibatkan seorang penerima terpaksa disuntik dua kali kerana staf berkenaan menyedari kesilapan terlebih dos sebelum ditekan picagari tersebut. Setelah penyelarasan dilakukan, suntikan dengan dos yang betul dilakukan,” menurut kenyataan itu.

CITF Bahagian Sibu kesal dengan kesilapan berkenaan namun memberitahu tindakan pantas staf itu mengelakkan terlebih dos diberi adalah baik kerana dos berlebihan boleh membahayakan penerima vaksin.

“Kesilapan ini mungkin berpunca daripada penggunaan vaksin Sinovac dua dos dalam satu botol mulai 12 Julai 2021. Pihak kami telah melaksanakan latihan semula untuk semua staf dan amat yakin perkara itu tidak akan berulang,” menurut CITF Bahagian Sibu.

CITF Bahagian Sibu memaklumkan pemberi vaksin terlibat terdiri daripada anggota kesihatan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk menjalankan tugas di PPV Stadium Tertutup Sibu.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.