AIRASIA raih sehingga RM1.024 Bilion daripada cadangan terbaik hak

Spread the love

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd (AAGB) bercadang untuk melaksanakan terbitan hak boleh lepas sehingga RM1.024 bilion dalam nilai nominal Sekuriti Hutang Islam Boleh Tebus Boleh Tukar dan Tidak Bercagar (RCUIDS) untuk tempoh tujuh tahun dengan nilai nominal sebanyak RM0.75 setiap satu berdasarkan dua RCUIDS dengan satu waran boleh dipisahkan secara percuma bagi setiap enam saham biasa yang dipegang.

Langkah itu dijangka mengumpul hasil kasar antara RM615.9 juta dan RM1.024 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

AAGB berkata hasil tersebut akan digunakan, antara lain, untuk penyelesaian lindung nilai bahan api; pembayaran sewa dan penyelenggaraan pesawat; modal kerja am; dan untuk unit perniagaan AirAsia Digital Sdn Bhd.

“Cadangan terbitan hak itu dilaksanakan susulan beberapa perkara yang tidak dijangka di luar kawalan kumpulan, terutamanya disebabkan penularan pandemik COVID-19 di peringkat global yang telah memberikan cabaran kepada industri penerbangan.

“Sekatan perjalanan yang dikenakan oleh pelbagai kerajaan di seluruh dunia telah menyebabkan trafik penumpang masuk dan keluar merosot dengan ketara bagi kumpulan dan ketidaktentuan mengenai prospek dan operasi kumpulan pada masa depan,” katanya.

RCUIDS memberi peluang kepada pemegang saham yang layak untuk melanggan sekuriti hutang berkaitan ekuiti tidak bercagar dengan kadar keuntungan yang menarik sebanyak 8.0 peratus setahun.

AAGB berkata cadangan terbitan hak itu akan berfungsi sebagai langkah interim untuk menangani keperluan aliran tunai jangka pendek, selain syarikat terus mengkaji pilihan lain yang ada dan/atau cadangan korporat untuk meningkatkan prestasi kewangan kumpulan dalam jangka masa panjang.

— BERNAMA

Tags: #bm, airasia

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.