Pengarah Kesihatan Negeri sahkan doktor palsu tidak terlibat memvaksin

Spread the love

KUCHING: Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed mengesahkan individu yang menyamar sebagai doktor tidak pernah bertugas sebagai pemvaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan.

Katanya, Shah Hairil Izman Dave, 20, juga tidak pernah disenaraikan dalam jadual bertugas rasmi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketua stesen di PPV tersebut biasanya akan memastikan kesemua petugas akan mengisi daftar masuk dan keluar setiap kali bertugas.

“Kesemua pemvaksin yang bertugas akan dipastikan mempunyai sijil Perakuan Pengamalan Tahunan sebelum dibenarkan memberi suntikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, jabatan juga telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta merta kepada pihak pengurusan PPV Stadium Perpaduan Kuching dan juga Hospital Umum Sarawak bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang.

6 Julai lalu, tertuduh mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan menyamar sebagai pegawai perubatan.

Mahkamah menetapkan tarikh 18 Ogos sebagai sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial tertuduh.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.