Kebakaran Membongkar Operasi Pelombongan ‘Cryptocurrency’

Spread the love

MIRI: Penduduk yang bertindak pantas dengan melaporkan kebakaran yang berlaku dalam sebuah rumah kosong di Desa Pujut 7 di sini berjaya mencegahnya daripada merebak ke rumah di sekeliling.

Menurut kenyataan media dari Sarawak Energy Bhd (SEB) yang dikeluarkan semalam, sejurus selepas dimaklumkan tentang insiden yang berlaku pada Jumaat lepas (2 Julai), pasukan teknikal SEB menutup bekalan di kawasan tersebut untuk menjaga keselamatan anggota bomba yang dipanggil ke tempat kebakaran selepas ia dilaporkan.

Pemeriksaan selanjutnya oleh pasukan teknikal dan Polis Daerah Miri mendapati pendawaian sumber bekalan di rumah terbabit telah disambung dengan cara yang menyalahi undang-undang dan disembunyi dalam siling.

Mereka juga menjumpai bukti bagi mesin pelombongan ‘cryptocurrency’ yang sudah dibuka dan dipercayai dikeluarkan dalam keadaan tergesa-gesa oleh pengendalinya.

Polis menjumpai peralatan yang biasanya digunakan dalam operasi pelombongan ‘cryptocurrency’ seperti kepingan busa span, rak sementara, dan kabel internet.

Polis turut merampas bukti lain yang dijumpai di dalam rumah itu dan pemiliknya akan dipanggil untuk membantu dalam siasatan.

SEB berkata ia akan terus memperluaskan usaha menjejaki premis operasi pelombongan ‘cryptocurrency’ yang mencuri tenaga elektrik.

Kegiatan mencuri tenaga elektrik ada kaitan rapat dengan aktiviti pelombongan ‘cryptocurrency’ di mana mereka yang terlibat mencuri bekalan elektrik terus dari talian atas dan menggunakannya secara percuma tanpa mempedulikan keselamatan orang ramai.

Operasi pelombongan ‘cryptocurrency’ biasanya berjalan 24 jam sehari dan memerlukan bekalan tenaga yang begitu tinggi. Sambungan langsung ke talian atas akan menyebabkan muatan berlebihan kepada sistem rangkaian elektrik, seterusnya menyebabkan bekalan terputus atau voltan rendah yang boleh merosakkan peralatan, dan menjejaskan pengguna lain yang berhampiran.

Pendawaian yang diubahsuai boleh menyebabkan kejutan elektrik kepada orang ramai yang mungkin tidak tahu tentang kabel elektrik di persekitaran mereka, atau dalam kes ini, menyebabkan kebakaran elektrik yang membahayakan kawasan kejiranan.

Mencuri tenaga elektrik merupakan jenayah berbahaya dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mendakwa mereka dapat mengurangkan bil elektrik atau membolehkan pemilik premis untuk menikmati bekalan elektrik tanpa had menerusi pengubahsuaian meter.

Mencuri tenaga elektrik merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Electricity Ordinance, yang membawa denda sebanyak RM100,000 dan/atau penjara selama lima tahun jika disabit kesalahan.

SEB berkata ia menghargai sokongan orang ramai dan menggalakkan mereka untuk melaporkan aktiviti pelombongan ‘cryptocurrency’ di kawasan kejiranan atau bangunan terbiar kepada pusat khidmat pelanggan di talian 1300-88-3111 atau emel kepada [email protected] Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.