Warga Sibu bantu golongan susah dengan cara tersendiri

Spread the love

SIBU, 5 Jun (Bernama) — Prihatin dengan keperitan hidup golongan memerlukan yang terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang pandemik COVID-19, banyak pihak tampil dengan cara tersendiri dalam menghulurkan bantuan kepada individu terbabit di Sibu.

Pelbagai kaedah digunakan termasuk mengumpul dana sesama rakan, tajaan orang perseorangan atau komuniti perniagaan dan gerakan solo secara bersasar.

Peniaga mi kampua di Ung Tung Corner, Permai Jaya di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Aing, 50, berkata agak luar biasa apabila ramai orang tampil berbuat demikian pada masa sukar ini.

“Ya, memang pantas mereka bergerak di mana-mana saja dengan cara berbeza. Ini sesuatu yang amat bagus apabila rakyat menolong sesama sendiri,” kata Aing kepada pemberita di gerainya hari ini.

Katanya beliau sendiri ada menerima dana daripada orang perseorangan untuk menyediakan makanan terkenal komuniti Foochow untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Saya diminta menyediakan mi kampua selepas menerima sedikit dana daripada pihak tertentu. Sebahagian mi yang saya sediakan mereka ambil untuk diberikan kepada golongan susah. Sebahagian lagi ditinggalkan di kedai untuk diambil sendiri orang yang memerlukan makanan,” katanya.

Mula menyediakan mi itu dari 6.30 hingga 11.30 pagi dan menetapkan hanya sebungkus boleh diambil untuk seorang individu, Aing berkata: “Jangan ambil lebih sekiranya tidak perlu sebab ramai orang mungkin belum menerima sebarang bantuan dan perlukan makanan.” 

Pengagihan mi percuma itu dilakukan sehingga Rabu ini namun akan diteruskan sekiranya ada pihak yang tampil menghulurkan tajaan.

Peniaga makanan di kedai Lou Chow 3 iaitu Chaw Wei Hau, 37, pula menawarkan nasi ayam bungkus berharga RM2 kepada orang ramai yang terjejas pendapatan mereka susulan sekatan pergerakan ketika ini.

“Harga biasa ialah RM3. Keadaan sekarang agak susah dan ini adalah cara saya untuk membantu orang ramai,” katanya yang berasa puas dapat memberi makanan kepada golongan susah. 

Tawaran nasi ayam pada harga RM2 yang bermula semalam itu akan diteruskan sehingga kawalan pergerakan ditamatkan.

– BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.