Agong menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Spread the love

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Pandangan itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong selepas berkenaan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selama sejam bermula jam 11 pagi tadi.

Yang turut menghadap, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Susulan sesi menghadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.