Pindaan Peraturan Diperlukan Untuk Persidangan Parlimen Hibrid

Spread the love

KUCHING: Persidangan parlimen secara hibrid perlu pindaan kepada Peraturan-Peraturan dan Perintah tetap Dewan Rakyat serta Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Negara.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perintah Tetap yang digubal pada tahun 1956 dan dipinda pada tahun 1959 tidak mempunyai peruntukkan untuk telepersidangan kemudahan teknologi moden.

Tegasnya, dalam keadaan COVID-19 sekarang dan keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Mengenai Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap perlu mengadakan mesyuarat bagi menyemak semula Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap serta membuat pindaan yang diperlukan ke atas tiga bidang utama.

“Pertama tempat duduk dan hak untuk bercakap, berbahas dan mencelah mesti dari tempat dia duduk mengikut peruntukan-peruntukan Peraturan-peraturan Dewan.  

“Kedua kekebalan di bawah Perkara 63 supaya ahli parlimen mempunyai perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang sebagai ahli dewan dan mereka bentuk pengaturan untuk mengundi sekiranya keputusan memerlukan pengundian,” katanya.

Kata Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu lagi, ahli parlimen turut mempunyai kekebalan untuk berbahas dalam dewan dan dilindungi di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

“Aspek lain, ahli parlimen layak untuk elaun pengangkutan, penginapan semasa mesyuarat di bangunan Parlimen dan elaun ini tidak dapat dituntut jika bersidang secara hibrid yang mana perlu juga perlu dipinda. 
 
“Itulah sebabnya jawatankuasa dibentuk di Parlimen untuk menjawab dan membuat persediaan untuk apa jua jenis mesyuarat yang diputuskan Parlimen. 

“Sebaik sahaja mereka bersetuju dengan jenis mesyuarat, fizikal atau maya atau hibrid, jawatankuasa kemudiannya akan memberitahu kerajaan mengenai infrastruktur yang akan diatur,” ujarnya.

Tambahnya lagi, katakan jawatankuasa memutuskan persidangan secara maya atau hibrid, mereka perlu mencadangkan pindaan kepada Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap yang mana agak terperinci. 

“Cadangan pindaan ini perlu dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggubal seperti pindaan mana-mana undang-undang lain.  

“Sebaik sahaja semua pindaan dan pengaturan dibuat, barulah Speaker akan berbincang dengan Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri untuk menetapkan tarikh. 

“Kerana di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap, ketua Dewan akan menetapkan tarikh selepas menerima titah dari Yang di-Pertuan Agong untuk bermesyuarat,” tegas Wan Junaidi.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.