Penduduk Luar Bandar Sambut Baik Vaksinasi Bergerak

Spread the love

Kuching, 20 Jun – Rata-rata masyarakat di luar bandar menyambut baik langkah kerajaan Sarawak membenarkan kaedah ‘walk in’ dan vaksinasi bergerak di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Langkah ini dilihat memudahkan pergerakan penduduk di pedalaman mendapatkan vaksin COVID-19 tanpa perlu ke bandar.

Umum mengetahui, antara masalah yang dihadapi penduduk di kawasan ini ialah dari segi logistik dan capaian internet yang menyukarkan mereka untuk membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin menggunakan aplikasi Mysejahtera.

Menurut Tuai Rumah Chakaw Anak Baya, kerajaan boleh menghantar pasukan perubatan khas ke kawasan kampung dan rumah panjang bagi menjalankan proses vaksinasi.

“Kalau boleh kerajaan menghantar pasukan ke rumah panjang sebab ada penduduk di rumah panjang yang sakit, tidak dapat bergerak dan ada juga menghadapi masalah kewangan. Ini antara masalah yang menyebabkan kami lambat untuk mendapatkan vaksin terutamanya di Pakan ini.” katanya.

Bagi Josephine Anak Mat, kaedah vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar sangat sesuai dilaksanakan kerana banyak warga emas yang susah untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan suntikan vaksin.

“Pergi ke rumah panjang pun boleh juga, di Klinik Kesihatan Nanga Wak sebab banyak warga emas di sini yang tidak tahu menggunakan Mysejahtera. Itu merupakan pendapat saya sendiri.” katanya.

Sementara itu, Balang Anak Lenggang berkata, melalui kaedah ini tuai rumah dapat menyediakan senarai nama penduduk bagi mendapatkan vaksin sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan luar bandar.

“Tuai rumah akan mencari nama penduduk di rumah panjang dan akan memberi senarai nama kepada pasukan vaksinasi yang datang ke rumah panjang dan tidak perlu mendapatkan suntikan ke pasar. Ini merupakan salah satu cara yang efektif.” katanya.

Selain itu, Laksamana Bin Bakar berkata, vaksinasi bergerak ke kawasan kampung boleh memudahkan penduduk yang datang dari jauh dan menghadapi kesukaran untuk turun ke bandar bagi mendapatkan vaksin.

“Melalui langkah ini kita dapat mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai sasaran semua penduduk untuk menerima vaksin. Saya juga berharap proses pemberian vaksin ini berjalan dengan lancar.” katanya.

Menyokong kaedah ini Asri Bin Mostapha berkata, pasukan kesihatan yang datang ke kawasan kampung dapat membantu warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) bagi menjalankan proses vaksinasi dan mengurangkan risiko mereka dijangkiti COVID-19 apabila perlu keluar rumah.

“Mungkin ada OKU termasuk mereka yang tidak boleh berjalan dan warga emas yang tidak dapat keluar dari rumah. Jadi, pada pandangan saya pihak KKM boleh bergerak dari rumah ke rumah dan ini merupakan cadangan yang sangat bagus.” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan tentang vaksinasi secara walk-in hanya terbuka kepada penduduk di kawasan luar bandar yang terpencil dan mencabar, manakala mereka yang tinggal di bandar masih perlu mengikuti prosedur pendaftaran sedia ada.

Tambahnya, penduduk rumah panjang boleh datang ke PPV yang ditubuhkan oleh pasukan vaksinasi bergerak berdekatan kawasan masing-masing untuk mendapatkan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan untuk mereka.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.