41 Diberkas Ketika Berparti Liar Libatkan Dadah

By Odleen Catherny
Spread the love
0

KUCHING: Seramai 41 individu telah ditahan sepanjang tempoh 29 Mei hingga 14 Jun melibatkan 27 lelaki dan 14 wanita atas pelbagai kesalahan dadah sempena serbuan Ops Parti Liar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, sebanyak enam serbuan telah dilaksanakan di bawah Ops Parti Liar yang dijalankan di Kuching dan Padawan sepanjang tempoh tersebut.

“Suspek-suspek terdiri daripada 27 lelaki dan 14 wanita yang berusia antara 18 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak di sini, pada Isnin.

Beliau turut mendakwa, parti-parti liar yang diadakan adalah ekoran daripada larangan untuk pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya trend penyalahgunaan dadah kini dilakukan secara ‘norma baharu’ melalui penganjuran parti-parti liar tertutup di kediaman-kediaman peribadi.

“Saya percaya ‘private party’ yang diadakan ini adalah bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak-pihak berkuasa.

“Bagaimanapun pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak telah berjaya mengenal pasti lokasi-lokasi penganjuran ‘private party’ tersebut,” jelasnya.

Untuk rekod, operasi khas ‘Ops Parti Liar’ ini dilaksanakan oleh JSJN Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching di Kuching dan Padawan sepanjang tempoh 29 Mei hingga 14 Jun 2021.

“Hasil tangkapan mendapati dua kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga kes di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 juga tiga kes dan 24 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Antara yang dirampas adalah pil ekstasi dua biji, ketamin 9.5 gram, Erimin 5 tiga biji dan serbuk jus campuran ekstasi 409.65 gram, keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,000,” ujarnya sambil mendedahkan melalui risikan dan maklumat diperolehi daripada Ops Parti Liar, JSJN Sarawak juga melancarkan satu operasi khas ‘Ops Black Cat’ pada 9 Jun 2021.

Menurutnya, Ops Black Cat diadakan di sebuah pangsapuri di Kuching di mana satu tempat penyimpanan dan memproses campuran serbuk jus ekstasi dan ketamin telah berjaya dibongkar dan kesemua peralatan-peralatan yang digunakan telah dirampas.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan, 27, ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Sebanyak 50 biji pil ekstasi, 354.13 ketamin, 320 biji Erimin 5 dan 13.7 kilogram serbuk jus disyaki campuran ekstasi dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM250,000.

Bekalan ini dianggarkan mampu menampung seramai 3,770 penagih.

“Reman ke atas suspek diluluskan selama tujuh hari di mana suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” tambah Aidi.

Sehubungan itu, statistik tangkapan JSJN Sarawak sejak Januari hingga 13 Jun 2021 merekodkan 46 kes, 77 tangkapan bagi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 11 kes, 22 tangkapan bagi Seksyen 39A (2) ADB 1952, 154 kes, 241 tangkapan bagi Seksyen 39A(1) ADB 1952, 659 kes, 852 tangkapan bagi Seksyen 12(2) ADB 1952, 12 kes, 14 tangkapan bagi Seksyen 6 ADB 1952 dan 2216 kes, 2216 tangkapan bagi Sekyen 15(1)(a) ADB 1952.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.