Kerjasama sektor pembalakan dan peladangan dituntut untuk elektrifikasi sepenuhnya di Sarawak

By Freddy Bohari
Spread the love
0

KUCHING: Kerajaan Sarawak, menerusi Kementerian Utiliti Sarawak dan agensi pelaksananya, Sarawak Energy Bhd, menyasarkan elektrifikasi sepenuhnya di Sarawak menjelang 2025.

Liputan domestik di Sarawak sekarang adalah 98 peratus dengan elektrifikasi sepenuhnya di kawasan bandar.

Bagaimanapun, 5 peratus kawasan luar bandar belum lagi menerima bekalan elektrik, dan kerajaan negeri sudah melancarkan beberapa inisiatif untuk mempercepatkan elektrifikasi bagi penduduk luar bandar yang terpencil.

Pelaksanaan inisiatif ini memerlukan kolaborasi dan kerjasama antara semua pemegang taruh, termasuk pemilik ladang dan syarikat pembalakan.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Anak Utom, menggesa semua pemegang taruh, terutamanya pemilik ladang, syarikat pembalakan serta penduduk kampung untuk bekerja sama dengan kementeriannya dan Sarawak Energy, terutamanya dalam perkara akses tanah, supaya Sarawak dapat mencapai sasaran elektrifikasi sepenuhnya bagi kawasan luar bandar menjelang 2025 atau malah lebih awal lagi.

“Usaha untuk membekalkan tenaga elektrik ke 95 peratus kawasan luar bandar di Sarawak tidak mudah, tetapi kementerian kami dan Sarawak Energy yakin dapat mencapai sasaran untuk memberi liputan sepenuhnya di kawasan luar bandar menjelang 2025 atau lebih awal lagi, dengan kerjasama semua pemegang taruh. Ini termasuk bekerja rapat dengan pejabat residen dan daerah, wakil rakyat, syarikat pembalakan dan peladangan serta penduduk kampung,” kata Dr Rundi.

Di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar Dipercepatkan yang merupakan sebahagian daripada Projek Rakyat Kerajaan Sarawak, Sarawak berjaya mencapai 95 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar pada 2020 berbanding sekadar 56 peratus sahaja pada 2009, walaupun Sarawak diliputi hutan hujan tebal, permukaan bumi yang sukar dan penempatan luar bandar terpencil.

Syarikat peladangan dan penduduk kampung memainkan peranan penting dalam usaha elektrifikasi luar bandar, dengan grid elektrik dan saluran bekalan yang perlu melintasi tanah mereka untuk sampai ke kawasan luar bandar di Sarawak.

Kerjasama pemegang taruhan ini amat penting untuk membolehkan akses ke tanah yang akan dilintasi rangkaian talian bekalan.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Sarawak Energy, kita telah menerima kerjasama yang lebih baik daripada beberapa syarikat peladangan, seterusnya mempercepatkan garis masa projek kita supaya syarikat dan penduduk kampung dapat menikmati faedah daripada bekalan elektrik grid dengan lebih cepat,” kata Dr Rundi.

“Usaha kolaborasi amat penting untuk memastikan pelaksanaan projek elektrifikasi ini berjalan dengan lancar, selamat dan mengikut jadual, terutamanya sekarang ketika pandemik COVID-19 menyekat pergerakan dan menimbulkan cabaran lojistik.”

Cabaran utama dalam elektrifikasi luar bandar adalah kesusahan untuk sampai ke kawasan terpencil dengan akses yang terbatas atau tidak elok selain memerlukan pasukan elektrifikasi luar bandar untuk menaiki bot atau berjalan kaki menerusi hutan untuk sampai ke tempat seperti penempatan Penan.

“Untuk kita mengembangkan Grid Negeri ke kawasan luar bandar, kita perlu membina tiang penyaluran elektrik, talian bekalan, atau malah pencawang di lokasi luar bandar yang strategik,” kata Naib Presiden Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak Energy, Dr Chen Shiun.

Solusi grid ini dikenali sebagai Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) dan Skim Bekalan Tenaga Luar Bandar (RPSS).

“Sebelum melaksanakan projek elektrifikasi luar bandar ini, pasukan kita akan berjumpa dan memberi taklimat kepada pemilik ladang tentang lokasi projek, latar belakang dan pelan bagi penyambungan grid,” tambah Dr Chen.

“Bagi mereka di mana ini sama sekali mustahil kerana kepencilan lokasi, kita akan menerangi komuniti ini menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak atau SARES.”

Dengan akses kepada bekalan tenaga grid yang boleh diharapkan, penduduk luar bandar di Sarawak akan menikmati keselesaan dan taraf hidup yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.