Khidmat Penghantar Digunakan Untuk Agih Makanan Di Sibu

Spread the love

SIBU: Khidmat 90 penghantar bungkusan makanan digunakan bagi mengagihkan bantuan makanan di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada 8,000 ketua isi rumah di daerah Sibu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata pengagihan bantuan itu dilaksanakan oleh ranting-ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi membantu mereka yang terputus bekalan makanan atau terkesan sepanjang pelaksanaan PKP yang bermula 29 Mei hingga 11 Jun ini.

Menurut beliau kaedah penghantaran itu juga sekali gus menjadi sumber pendapatan kepada penghantar bungkusan makanan.

“Kali ini kaedah penghantaran ke rumah dibuat untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di pusat agihan di Dewan Lembaga Kebajikan Islam (Lakis) Sibu. Sekiranya penerima tiada di rumah, mereka akan dihubungi untuk mengambil bantuan itu di Lakis,” kata Dr Annuar menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata proses penghantaran yang bermula semalam dijangka selesai Jumaat ini dengan senarai penerima disediakan oleh Pejabat Residen Sibu berdasarkan senarai semasa PKP 2.0 lepas.

Dr Annuar turut menyeru orang ramai agar memaklumkan kepada ranting-ranting PBB di DUN Nangka, Bukit Assek, Pelawan, Dudong dan Bawang Assan sekiranya ada ketua isi rumah yang tercicir daripada senarai tersebut dan tidak menerima bantuan itu.

— BERNAMA

Tags: #bm, BKSS, KIR

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.