9,020 Kes Positif, Malaysia Sekali Lagi Catat Angka Tertinggi Sejarah Covid-19 Negara

Spread the love

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu harian COVID-19 melepasi angka 9,000 dengan 9,020 kes dilaporkan hari ini, rekod tertinggi sejak pandemik berkenaan menular di negara ini pada Januari tahun lepas.

Berdasarkan hantaran Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kini sebanyak 558,534 kes.

Selangor kekal menjadi negeri yang menyumbang kepada kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,836 kes diikuti Kelantan dengan 907 kes, Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789) dan Sarawak (726).

Johor dan Kedah merekodkan masing-masing 468 kes, Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan 19 kes di Perlis.

Pecahan Kes Mengikut Negeri:

Sementara itu, di Sarawak dengan 726 kes baharu COVID-19, sejumlah 430 atau 59.23 peratus daripada jumlah kes ini telah dikesan di Daerah Kuching, Kapit, Sibu, Miri dan Subis.

Daerah-daerah yang merekodkan kes pada Sabtu ialah Daerah Kuching (159), Kapit (73), Sibu (72), Miri (66), Subis (60), Bintulu (49), Samarahan (43), Pakan (28), Meradong (27), Selangau (16), Asajaya (16), Sarikei (15), Tanjung Manis (13), Beluru (13), Mukah (12), Serian (10), Matu (9), Pusa (8), Bau (8), Betong (5), Simunjan (5), Kanowit (4), Julau (4), Tatau (2), Saratok (2), Marudi (2), Song (2), Lawas (1), Sri Aman (1) dan Sebauh (1).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 46,162.

Dalam pada itu, Sarawak turut melaporkan empat (4) kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak telah meningkat kepada seramai 280 orang.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai Sian, Meradong yang merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Sian, Meradong yang telah merebak melalui pergerakan sosial dan pergaulan rapat dalam kalangan penduduk di rumah panjang tersebut.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.