Tempahan Vaksin AstraZeneca Ditutup Dalam Tempoh Kurang Dua Jam

Spread the love

TEMPAHAN janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca untuk golongan yang berumur 60 tahun ke bawah ditutup dalam tempoh kurang daripada 2 jam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19, mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan sejuta dos dibuka untuk tempahan kepada individu bawah 60 tahun bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca.

Ia melibatkan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Miri di Sarawak serta Johor.

Terdahulu, pendaftaran pusingan kedua vaksin itu bermula 23 Mei hanya dibuka kepada golongan lebih 60 tahun.

Dalam pada itu, menerusi akaun Twitternya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan seramai 935,865 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.

Seramai 1,647,183 individu pula telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,583,048 dos setakat semalam.

Lima negeri yang menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 126,462 dos diikuti Sarawak (92,261), Kuala Lumpur (90,514), Johor (83,728) dan Perak (78,940).


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.