Seorang Lagi Terkorban di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 25 MEI: Rabies telah meragut satu lagi nyawa di Sarawak dan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 32 sejak wabak itu diisytiharkan di negeri ini pada 1 Julai 2017.

Dalam satu kenyataan pada 24 Mei 2021, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian terbaharu itu disahkan positif pada 5 Mei 2021. 
Kes terbaharu ini merupakan seorang wanita berumur 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus di Selangau.
Beliau memberitahu, kes mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjing tersebut yang sedang bergaduh dengan anjing lain pada 9 Mac 2021. 
“Dia telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama. Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan temu janji susulan telah diberikan. 

“Malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, kes telah diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April 2021. Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan,” jelasnya.
Dr Noor Hisham juga berkata sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021.
Keadaan pesakit dikatakan semakin merosot dan kes meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7.13 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.
“Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di Sarawak untuk tahun 2021 sebagai tiga kes.”
Dr Noor Hisham mengatakan apabila jangkitan virus rabies yang berlaku di luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan telah sampai ke otak. 
Justeru, KKM ingin menasihati orang awam terutamanya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies ini merebak dan sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti dicuci menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama15 minit.
Selain itu, Dr Noor Hisham mengatakan individu terbabit perlu segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.
“Pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut temu janji yang diberikan oleh pengamal perubatan, walaupun ketika dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar.”

“Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan; seperti rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.
“Namun begitu, kerja sama rakyat Sarawak dimohon agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat dibasmi,” kata Dr Noor Hisham .

Sumber: Utusan Borneo Online


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.