Pesan Makanan Dari Restoran, Dihidang Dan Dimakan Dalam Kereta

Spread the love

KUCHING, MEI 21: Memandangkan konsep “dine-in” atau makan di premis restoran tidak dibenarkan sepanjang Peraturan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak, ramai yang memilih untuk “tapau” atau bungkus untuk makan di rumah atau pejabat.

Namun tidak kurang juga yang menggunakan kaedah alternatif dengan memesan makanan dan menjamu selera dalam kereta, seakan-akan sama dengan konsep pandu-lalu tetapi kelainannya ialah mereka ini parkir kereta kemudian makan makanan yang dipesan dan dihidang dari kedai.

Konsep “park-in” memperlihatkan peniaga kedai makanan menghantar tempahan pelanggan ke dalam kereta dan seterusnya pelanggan  menjamu selera di dalam kereta masing-masing.

Salah seorang pelanggan yang menikmati hidangan dari dalam kereta

Menurut pemilik kedai mee, Tung Pei Sin, pelanggannya yang menggunakan konsep sedemikian terdiri daripada golongan bekerja yang mungkin kesuntukan masa tetapi mahu menikmati makanan semasa masih panas dan baru dimasak.

“Sekarang kita tidak dibenarkan ‘dine-in’ jadi kebanyakan pelanggan meminta kami menghantar ke kereta selepas itu mereka makan dalam kereta dengan menggunakan pinggan mangkuk kami, kemudian selepas makan, mereka akan mengembalikan kepada alat-alat tersebut, ada juga yang bungkus bawa balik rumah.

“Yang penting, patuhi SOP dan ada amalan penjarakan sosial,” katanya kepada TVS.

Seorang lagi pengusaha restoran memberitahu, pelanggan-pelangganya akan membuat pesanan melalui aplikasi WhatsApp melalui menu online dan pesanan tersebut akan dihantar ke kereta yang menunggu.

Norma baharu: pesan makanan dan dihidang ke dalam kereta!

“Kami akan menghantar pesanan ke kereta, setelah habis mereka makan, mereka akan membunyikan hon untuk kami kutip pinggan dan mangkuk,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Indah.

Dalam pada itu, pelanggan-pelanggan yang ditemui di premis makanan yang mengamalkan konsep “park-in” mengakui konsep itu memudahkan mereka.

Mary Chan menikmati hidangan mee dari dalam kereta beliau


 Menurut Mary Chan, disebabkan beliau kesuntukan masa kerana bekerja, beliau memilih cara memesan makanan sedemikian.

“Memang boleh saja saya pesan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan tapi ada pula caj tambahan,” katanya.

Bagi Chua Yaw Fang, beliau turut sependapat dengan Mary Chan.

“Saya kejar masa jadi susahlah, makan kedai lagi senang, tidak payah bungkus dan hidang,” katanya.
 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.