Bunga Api dan Mercun dirampas, Kes Terbesar di Negara Setakat Mei 2021

Spread the love

Dua buah kontena yang membawa muatan 46.7 tan mercun dan bunga api pelbagai jenama telah ditahan di Jalan Batu 7 menuju ke Jalan Haji Baki/Batu Kitang semasa rondaan Ops Letup 2021 pada 1 Mei lepas.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua kontena tersebut menemui mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM754,152 serta duti atau cukai terlibat dianggarkan bernilai RM386,198.

“Ini sekaligus menjadikan kes ini merupakan rampasan terbesar di Malaysia setakat Mei 2021,” katanya dalam satu sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam, Demak Laut, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati barang rampasan itu dipercayai diimport dari luar negara menggunakan permit import yang sah namun kuantiti yang diikrarkan adalah tidak sama dengan kuantiti fizikal bertujuan untuk menipu pembayaran cukai.

Susulan itu, tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(A) dan Seksyen 135(1)(G) Akta Kastam 1967.

Herman turut menegaskan orang awam untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta menasihati orang awam untuk tidak membabitkan diri degan aktiviti tersebut.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.