10 Beradik Nyalakan Panjut Dedikasi Buat Kapal Selam KRI Nanggala 402

Spread the love

KUALA NERUS: Turut berasa sedih dan simpati terhadap tragedi yang menimpa KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia, 10 beradik berpakat membina panjut atau pelita buluh berbentuk rangka kapal selam tersebut di halaman kediaman ibu bapa mereka di Kampung Padang Air dekat Tepoh di sini.

Mohd Khairul Helmi Harun, 34, berkata replika panjut kapal selam sepanjang 20 kaki itu dipasang beliau bersama sembilan adik-beradik yang lain menggunakan 100 buah pelita.

“Walaupun kejadian itu bukan di Malaysia, Indonesia adalah negara jiran kita. Kebetulan ia berlaku pada bulan Ramadan ini. Jadi kami pasang panjut berbentuk kapal selam sebagai tanda rasa simpati kami kepada ahli keluarga kru kapal,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Air dekat Tepoh, di sini.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

Mohd Khairul Helmi berkata beliau bersama adik-beradik yang lain mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan replika tersebut termasuk mencari buluh yang bersesuaian di hutan, melakar bentuk kapal selam KRI Nanggala 402 sehinggalah memasang sumbu pelita.

Selain replika kapal selam malang itu, adik-beradik kreatif ini turut memasang 300 lagi pelita menghiasi sekeliling halaman rumah ibu bapa mereka yang dinamakan ‘Taman Ibunda’.

Selain itu, pintu gerbang, buaian dan beberapa kenderaan antik seperti kereta, vespa dan basikal yang terletak di halaman rumah tersebut turut dihiasi dengan pelita.

“Kami mula pasang pelita secara besar-besaran seperti ini pada bulan puasa tahun lepas. Kebetulan pada waktu itu pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jadi kami tidak bekerja dan mengisi masa lapang dengan memasang lampu pelita di rumah mak dan ayah (Harun Omar, 75 dan Zainon Ngah, 65).

“Kami ada 12 beradik tetapi dua adik-beradik tinggal di luar Terengganu jadi yang pasang lampu pelita ini hanya kami 10 beradik. Pemasangan lampu pelita ini memang menjadi tradisi keluarga kami sejak dahulu lagi bagi memeriahkan suasana bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Katanya beliau bersama adik-beradik berkongsi kos keseluruhan pemasangan pelita tersebut iaitu sebanyak RM3,000.

Sejak semua pelita itu dipasang bermula malam Jumaat lepas (7 Mei), Taman Ibunda menjadi tumpuan penduduk terutama yang tinggal di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu untuk melihat sendiri keindahan cahaya pelita dan merakam gambar secara percuma.

“Kami bercadang untuk meneruskan pemasangan lampu pelita ini hingga ke malam raya namun ia bergantung pada situasi semasa ekoran penularan COVID-19. Kami juga harap pengunjung mematuhi SOP (prosedur operasi standard) seperti mengimbas kod QR My Sejahtera dan mengambil suhu badan sebelum memasuki Taman Ibunda,” katanya sambil memaklumkan pelita akan dinyalakan selepas solat tarawih hingga tengah malam.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.