Harumanis ‘Laku Keras’ Di Platform Dalam Talian

By Eekbal Yusof
Spread the love
0

PADANG BESAR: Larangan merentas negeri akibat penularan wabak COVID-19 tidak menjejaskan penjualan mangga Harumanis, apabila ia ‘laku keras’ dijual menerusi platform dalam talian.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohamad Paisal Amri berkata, dari awal musim sehingga kini, pihaknya berjaya menjual sebanyak 20 tan matrik Harumanis ke seluruh negara.

“Permintaan Harumanis pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, apabila kita mendapat pasaran baharu ke Sabah menerusi penglibatan pihak swasta, bagi merancakkan lagi penjualan Harumanis secara e-dagang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Paisal berkata FAMA akan sentiasa membantu pengusaha bagi meningkatkan hasil jualan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita galakan pengusaha agar memberi tumpuan kepada jualan secara dalam talian, kerana ia pilihan terbaik ketika ini dikala negara dilanda wabak COVID-19,” katanya.

Seorang pengusaha Harumanis Aziz Itam, 61, berkata penjualan Harumanis secara dalam talian amat menggalakkan berbanding tahun lepas, namun hasil jualan secara bersemuka agak merosot akibat larangan merentas negeri.

“Perkhidmatan kurier tahun ini sangat baik, apabila buah yang dihantar sampai kepada pembeli dalam masa kurang dari tiga hari dan mendapat ‘sambutan’ positif,” katanya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, beliau menjual sebanyak 150 sehingga 200 kilogram dalam masa seminggu, dan hampir satu tan matrik sepanjang bulan Ramadan.

“Anak-anak banyak membantu saya dalam melakukan jualan secara dalam talian menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, dan rata-rata pembeli adalah dari Kuala Lumpur, Pahang dan Johor,” katanya.

Nada berbeza diberikan oleh Che Rus Man, 57, yang berkata permintaan Harumanis pada tahun ini agak merosot daripada tahun sebelumnya.

“Tempoh matang buah untuk dituai yang tidak sekata menyebabkan pakcik menghadapi kesukaran dalam memasarkan buah kepada pemborong, menyebabkan hasil jualan tahun ini agak merosot,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.