Sarawak Mahu Jalin Kerjasama Bangun Produk Kayu Tereka Bentuk

Spread the love

KUCHING: Sarawak perlu menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta agensi penyelidikan dan pemain industri lain untuk membangunkan produk kayu tereka bentuk, kata Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Beliau berkata pasaran dunia bagi produk kayu tereka bentuk dijangka bernilai US$41.27 bilion (kira-kira RM168.02 bilion) menjelang 2022, yang memberi petanda baik kepada Sarawak kerana ia telahpun mempunyai projek hutan ditanam, untuk membangun dan meneroka prospek sedemikian.

“Kita perlu meningkatkan pembinaan kapasiti kita dari segi pengetahuan dan teknologi. Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memulakan usaha berama untuk mempromosi dan berkongsi pengetahuan mengenai produk kayu tereka bentuk,” katanya semasa merasmikan seminar mengenai Produk Kayu Tereka Bentuk 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain bekerjasama dengan UiTM, Pusaka juga berkolaborasi dengan Woodsfield Glulam Sdn Bhd, syarikat berpangkalan di Johor yang mengkhususkan dalam menghasilkan kayu tereka bentuk dan mengeksport produknya ke luar negara.

“Kerjasama itu menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan kayu tereka bentuk menggunakan spesis kayu Acacia daripada hutan ditanam kami. Satu-satunya cara untuk berjaya adalah menumpukan sumbangan kami kepada industri bagi memastikan kami kekal relevan dan industri berasaskan kayu terus bertahan,” katanya.

Len Talif berkata industri kayu menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak bagi suku ketiga tahun ini namun pendapatan eksport kayu dan produk kayu hanya berjumlah RM2.8 bilion, susut 19 peratus berbanding RM3.5 bilion semasa tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya, negeri itu telah menetapkan sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM8 bilion dalam aspirasinya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 dan ini menuntut pemain industri untuk menyahut cabaran dan terus meneroka pembangunan produk kayu.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.