Sarjan Norihan Gembira Dapat ‘Tengok’ Anak-Anak

Spread the love

GEORGE TOWN: “Anak-anak saya gembira melihat ayah mereka menerusi panggilan video selepas dia sedar daripada pembedahan membuang peluru dan saya bersyukur doa kami semua supaya dia sedar dimakbulkan,” kata Fardilla a/p Adam, 35.

Isteri kepada Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari yang cedera parah dalam insiden berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 Nov lalu itu berkata sebaik sedar perkara pertama dilakukan suaminya adalah bertanyakan mengenai anak mereka.

Katanya, suaminya meminta dia membuat panggilan telefon kepada dua anak mereka Rayyan Jesly, lapan, dan anak perempuan, Notesa, tujuh, kerana terlalu rindukan mereka.

“Sebaik sedar suami nampak saya menangis, dia terus tanya mana anak-anak dan dalam masa sempat bergurau memaklumkan dia belum mati jadi tak payah menangis dan sedih lagi…cuma suami minta nak tengok dua anak kami, saya maklumkan mereka berada di kampung kerana tidak boleh ikut kerana COVID-19.

“Kami terus menghubungi ibu saya di kampung (Negeri Sembilan) dengan membuat panggilan video untuk suami bercakap dan melihat anak-anak, mereka juga gembira selepas melihat ayah sudah boleh bercakap serta senyum kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Fardilla, yang merupakan suri rumah, berkata setakat ini doktor memaklumkan dua peluru belum dikeluarkan dari badan suaminya tetapi keadaan itu tidak memberi kesan kesihatan kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sebaliknya mungkin berlaku dan boleh mengancam nyawa suaminya jika peluru itu cuba dikeluarkan.

Katanya, suaminya yang menerima rawatan di wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) sudah boleh berjalan, makan dan minum namun perlu menjalani beberapa rawatan susulan termasuk fisioterapi.

“Sejak dua hari lalu suami perlu jalani kuarantin di wad dan saya atau sesiapa tidak dibenarkan untuk berjumpa atau menjaga suami…beliau juga telah menjalani ujian saringan COVID-19 serta disahkan negatif.

“Jadi hari ini saya balik ke Bidor, Perak untuk mengemas rumah di sana kerana kalau suami dibenarkan keluar wad, kami akan balik.

“Cuma doktor belum maklumkan lagi, bila suami akan dibenarkan keluar wad…tapi keadaan beliau semakin baik sekarang kerana dia sangat kuat semangat, malah selalu beritahu tak sabar nak kembali sihat untuk sarung uniform dan bertugas semula,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan Norihan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa menjaga keperluan dan keselamatan beliau serta keluarganya.

Norihan, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP pada 25 Nov, selamat menjalani pembedahan mengeluarkan satu daripada tiga butir peluru dalam badannya.

Dalam insiden pada jam 3.10 pagi Selasa itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Baharuddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.