NTF Pertimbang Tambah Anggota Di Sempadan – Ismail Sabri

Spread the love

KUALA LUMPUR: Tambahan bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sedang dipertimbangkan oleh Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.