Individu Ada Bukti Kes Rogol Di Ladang Kelapa Sawit Perlu Buat Laporan

Spread the love

KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa mereka yang mempunyai bukti kegiatan salah laku atau jenayah iaitu rogol dan pencabulan di ladang kelapa sawit, supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Laporan Associated Press pada 18 Nov lepas menarik perhatian apabila mendakwa berlaku pencabulan terhadap pekerja wanita atau yang berkaitan dengan industri minyak sawit, menerusi artikel bertajuk ‘rogol, cabul di ladang kelapa sawit dikaitkan dengan jenama kosmetik terkenal’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPOC Datuk Kalyana Sundram berkata penulis artikel itu harus segera bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia atau melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bebas yang sesuai dengan berkongsi bukti kukuh agar dakwaan itu dapat disiasat dengan menyeluruh.

“Jika motif penulis artikel AP itu untuk memberi pengadilan kepada mangsa yang terlibat, mereka perlu tampil. Menyimpan atau mendiamkan diri terhadap bukti berkenaan tidak membantu mangsa atau industri dan akan menghalang keadilan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa MPOC melihat dakwaan ini dengan serius kerana ia merupakan kesalahan jenayah dan perlu dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah.

“Malaysia tidak akan membenarkan perlakuan jenayah sedemikian atau bertolak ansur terhadap sebarang penyalahgunaan atau pencabulan terhadap pekerja khususnya wanita,” katanya.

Kalyana berkata kegagalan untuk tampil akan menyebabkan tiada tindakan dapat diambil kerana pihak berkuasa Malaysia tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, bermakna mereka tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang melainkan pengadu membuat laporan secara rasmi.

Sementara itu, CEO MPOA Datuk Nageeb Wahab berkata melaporkan kegiatan salah laku adalah langkah pertama yang perlu diambil, sekiranya dakwaan itu berasas.

“Cara untuk mencapai matlamat ini ialah bekerjasama dengan jujur, terbuka dan ikhlas,” katanya dalam kenyataan.

Nageeb berkata tuduhan serius yang disiarkan dalam artikel itu menggambarkan kehidupan di estet kelapa sawit Malaysia yang jelas diperbesarkan dan banyak propaganda dengan penulis telah mewujudkan gambaran dalam penceritaannya bahawa perlakuan sedemikian adalah endemik, padahal perlakuan seperti keganasan, penindasan dan gangguan adalah kejadian terpencil.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.