Perak Akan Umum Inisiatif Pakej Pelancongan Selepas PKPB Tamat

Spread the love

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan mengumumkan beberapa inisiatif pakej pelancongan termasuk diskaun destinasi pelancongan untuk pelancong yang datang ke negeri itu dalam usaha merancakkan kembali ekonomi dalam sektor pelancongan domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pihaknya akan memperincikan butiran mengenai perkara itu sebaik sahaja pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

“Kita telah merancang apabila PKPB ditamatkan dan kita kembali kepada PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) kita akan mengumumkan beberapa pakej pelancongan antaranya diskaun sehingga RM150 bagi setiap pakej pelancongan yang akan dijual bersama rangkaian agensi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 3,000 cecair pembasmi kuman oleh Proven Optimisation Innovative Solutions (POIS) Sdn Bhd kepada Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Nolee Ashilin juga berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengumumkan beberapa inisiatif esok untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan akibat COVID-19.

“Ini kerana kita melihat akibat daripada (pelaksanaan) PKPB, banyak aktiviti perniagaan khususnya penjaja dan peniaga kecil telah terjejas disebabkan pelancong tidak datang ke negeri ini berikutan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau juga berkata cecair pembasmi kuman yang disumbangkan POIS Sdn Bhd akan diagih kepada penggiat pelancongan, PBT dan badan bukan kerajaan terpilih.

“Kita berharap ia dapat membantu penggiat pelancongan menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap premis masing-masing manakala bagi PBT pula, ia akan disalurkan kepada mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti penguat kuasa.

“Inisiatif ini diambil untuk bersama-sama membantu memutuskan rantaian COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.