Persediaan Banjir: Bomba Kelantan Lantik 24 PBB SWART

Spread the love

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan melantik 24 pegawai Pasukan Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) bagi menghadapi musim banjir di negeri ini.

Pengarahnya Md Salleh Sarbini berkata mereka yang dilantik perlu menjalani kursus latihan selama 10 hari di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

“Pada peringkat permulaan, 24 pegawai PBB SWART dilantik merangkumi 12 anggota masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

“Pada masa akan datang kita akan memohon dengan pihak jabatan untuk mengembangkan lagi pemilihan pegawai PBB SWART ke Pantai Genting, Pantai Sri Tujuh dan lain-lain di kawasan yang berbahaya,” katanya di sini semalam.

Md Salleh berkata, pengambilan anggota PBB SWART membabitkan anak tempatan di setiap kawasan, sebagai contoh, di Bachok pihaknya akan mengambil nelayan atau anak-anak nelayan di kawasan berkenaan memandangkan mereka lebih mahir dan tahu selok-belok topografi kawasan pantai.

Dalam perkembangan sama, Md Salleh memaklumkan jabatan tersebut mempunyai kekuatan 1,500 pegawai dan anggota yang kini bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir di Kelantan.

“Jumlah ini termasuk anggota Pasukan Bomba Sukarela dan anggota bomba bantuan yang ditempatkan di semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri, selain cuti anggota sudah dibekukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Salleh berkata dari segi kelengkapan logistik, pihaknya mempunyai 40 bot, 10 lori, serta 40 pacuan empat roda yang bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa selain mendapat bantuan dan kerjasama daripada Unit Udara JBPM untuk menempatkan sebuah helikopter di kawasan Pantai Timur.

“Sekiranya berlaku apa-apa kes membabitkan mangsa cedera atau sakit terutamanya kawasan pedalaman seperti di Gua Musang, operasi menyelamat dapat dilakukan dengan kadar segera,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.