Beri Keutamaan Kepada KWSP Dalam Projek Pembangunan Dan Pelaburan – Cuepacs

Spread the love

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam projek pembangunan dan pelaburan yang boleh menjana keuntungan lumayan buat dana persaraan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berharap langkah tersebut diambil pada masa akan datang bagi membolehkan KWSP mencatat pertumbuhan yang lebih baik, sekali gus menterjemahkannnya dalam bentuk pemberian dividen lebih tinggi kepada pencarum.

“Ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan kembali jumlah simpanan persaraan pencarum KWSP termasuk pekerja di sektor awam yang membuat caruman KWSP,” katanya dalam kenyataan semalam.

Adnan, yang menyambut baik langkah KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran simpanan persaraan daripada Akaun 1 i-Sinar, turut menyatakan walaupun secara zahirnya kakitangan kerajaan tidak terjejas pendapatannya, kemungkinan ada dalam kalangan pasangan mereka yang berniaga atau bekerja di sektor swasta terkesan dengan COVID-19.

Oleh itu, beliau menyarankan agar semua ahli KWSP termasuk penjawat awam yang membuat caruman KWSP mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit jika mengalami masalah atau pertanyaan berhubung i-Sinar.

Beliau berkata kemudahan akses secara bersasar kepada mereka yang terjejas itu merupakan satu keputusan yang tepat kerana ia membantu golongan rakyat yang terkesan dan dalam masa yang sama menjamin simpanan hari tua bagi mereka yang tidak terkesan ekoran penularan COVID-19.

“Keputusan ini juga mencerminkan bahawa kerajaan dan KWSP mendengar keluhan dan suara hati rakyat yang begitu terkesan dengan situasi pandemik ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.