Perairan Sampadi-Tanjung Datu Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Baru Sarawak

Spread the love

SEMATAN: Perairan Sampadi-Tanjung Datu di sini mampu menjadi kawasan tarikan pelancong menerusi peletakan 1,100 unit tukun tiruan yang dapat melindungi dan memelihara hidupan laut di kawasan berkenaan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Katanya ia merupakan antara pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha mengangkat kawasan yang terletak kira-kira 107 km dari bandar raya Kuching itu, untuk menjadi satu lagi pusat tarikan pelancongan negeri.

“Salah satu manfaatnya (peletakan tukun) ialah sektor eko-pelancongan yang boleh dibangunkan sekitar kawasan ini, seperti ‘sport fishing’ dan aktiviti selaman skuba,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kerja-kerja melabuh tukun ‘reef ball’ di Kem Putra Sentosa, Sematan di sini.

Menurutnya kerajaan negeri memperuntukkan RM70 juta kepada Perbadanan Perhutanan (SFC) bagi kerja-kerja melabuhkan 16,800 tukun tiruan jenis ‘reef ball’ untuk tempoh di antara 2018 dan 2021, yang melibatkan kawasan sepanjang 1,000km di perairan negeri.

Katanya sehingga kini, SFC telah berjaya melabuhkan lebih 5,000 unit tukun tiruan terbabit di perairan di antara Tanjung Datu di selatan Sarawak sehinggalah ke Lawas, daerah paling utara negeri ini.

Abang Johari berkata hasil tangkapan nelayan tradisional juga dilihat bertambah ketika ini disebabkan hidupan marin dapat membiak serta membesar sehingga ke saiz maksima di kawasan yang terlindung dengan adanya tukun tiruan itu.

— BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.